Banyak pemilik kenderaan mewah membeli menggunakan hutang dengan bayaran bulanan yang tinggi. Bagi sesetengah pihak, tekanan kewangan sebegini mendorong kepada tindakan terdesak dan tidak bermoral.
Dengan bayaran antara 15% hingga 20% daripada jumlah pampasan insurans yang dijangka, pemilik kenderaan boleh mendapatkan “runner” untuk menyelesaikan masalah itu. Penyelesaiannya? Kereta tersebut dibakar, ditolak ke dalam gaung, atau dicuri serta dileraikan. Di mana semuanya disusun supaya kelihatan seperti kemalangan atau kecurian.
Menurut satu sumber, terdapat sindiket yang menjalankan kegiatan ini secara besar-besaran, menawarkan “penyelesaian” kepada pemilik kenderaan yang terjerat dalam pinjaman melebihi nilai (underwater loans). Mereka sanggup sogok mekanik, bengkel atau pemandu trak tunda untuk bantu reka kerosakan palsu.
Pemilik kereta kemudiannya akan membuat tuntutan insurans dengan mendakwa kenderaan mereka hilang atau musnah dalam kemalangan. Jika tuntutan diluluskan, syarikat insurans akan membayar pampasan berdasarkan nilai pasaran semasa kenderaan.

Wang pampasan ini kemudiannya akan digunakan untuk menjelaskan baki pinjaman dengan bank. Malah, dalam sesetengah kes, pinjaman itu akan dilupuskan atau dibebankan semula kepada peminjam, bergantung pada polisi yang diambil.
Dalam situasi ini, pemilik berkemungkinan terlepas daripada membayar baki hutang, atau sekurang-kurangnya menangguhkannya.
Penyelaras Majlis Pengurangan Kecurian dan Kemalangan Kenderaan (VTAREC), Mas Tina Abdul Hamid berkata, memang wujud kes penipuan insurans secara terang-terangan oleh individu atau sindiket, antaranya dengan berpura-pura kenderaan dicuri, dibakar atau dileraikan, demi menuntut pampasan penuh kerugian (Total Loss Payout).
Namun katanya, syarikat insurans dan pengendali takaful kini sudah memiliki sistem pengesanan yang canggih untuk mengesan penipuan sebegini. Berdasarkan data Persatuan Insurans Am Malaysia, sebanyak 47,325 kereta persendirian diisytihar sebagai kerugian total (total loss) daripada lebih tiga juta kemalangan yang dilaporkan antara 2022 hingga 2024.
Bagi tempoh yang sama, sebanyak 4,093 motosikal dan 2,727 kenderaan komersial turut diisytihar sebagai kerugian total.
