IBM Susun Semula Perniagaan, Akan Kurangkan 3,900 Pekerjaan

IBM Susun Semula Perniagaan, Akan Kurangkan 3,900 Pekerjaan

IBM akan mengurangkan kira-kira 3,900 pekerjaan, bersamaan lebih satu peratus daripada tenaga kerjanya yang berkaitan perniagaan yang telah dilupuska

IBM akan mengurangkan kira-kira 3,900 pekerjaan, bersamaan lebih satu peratus daripada tenaga kerjanya yang berkaitan perniagaan yang telah dilupuskan.

AFP dalam satu laporan semalam berkata syarikat pengkomputeran yang berpangkalan di negeri New York itu bagaimanapun tidak mendedahkan angka pengurangan tersebut dalam laporan pendapatan suku tahunannya.

Bagaimanapun, sumber daripada IBM berkata sebanyak AS$300 juta yang diperuntukkan pada suku pertama tahun ini adalah berkaitan pembuangan pekerja.

Kos ini “berkaitan sepenuhnya” dengan syarikat terbitan, Kyndryl dan pelupusan data kesihatan dan perniagaan analisis, kata jurucakap IBM.

“Ia bukan tindakan berdasarkan prestasi 2022 atau jangkaan 2023,” tambahnya.

Firma teknologi berusia lebih seabad itu telah melaporkan keuntungan AS$2.9 bilion dalam tiga bulan terakhir tahun lalu, kira-kira 17 peratus lebih tinggi daripada tempoh yang sama pada 2021 walaupun hasil kekal tidak berubah pada AS$16.7 bilion.

“Pelanggan di semua geografi semakin menerima penyelesaian hibrid awan dan AI kami kerana teknologi kekal sebagai kuasa pembeza dalam persekitaran perniagaan hari ini,” kata ketua pegawai eksekutif IBM Arvind Krishna.

Syarikat yang ditubuhkan pada 1911 itu mengumumkan lewat tahun lalu bahawa ia akan melabur AS$20 bilion dalam semikonduktor, pengkomputeran kuantum dan teknologi canggih lain di negeri New York.

Krishna mendedahkan perbelanjaan yang akan berlangsung selama 10 tahun itu, dalam ucapan bersama Presiden AS Joe Biden di fasiliti syarikat, Poughkeepsie.

COMMENTS

WORDPRESS: 0
DISQUS: