ev-cars-charging

Indonesia Rancang Set Insentif Baharu Untuk Tarik Pelaburan Pembuat EV

Indonesia sedang memuktamadkan satu set insentif baharu untuk menarik pelaburan daripada pengeluar kenderaan elektrik (EV), kata seorang menteri kanan hari ini sambil menambah kerajaan masih dalam perbincangan bersama syarikat utama seperti Tesla dan BYD.

Bercakap pada persidangan industri nikel yang dihoskan oleh CNBC Indonesia, Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Sumber Asli, Luhut Pandjaitan berkata insentif itu akan menjadi penanda aras bandingan dengan apa yang ditawarkan oleh pesaing serantau Thailand dan Vietnam.

Indonesia, ekonomi terbesar di Asia Tenggara, telah cuba menarik pembuat EV untuk melabur di negara itu dengan rizab nikel terbesar di dunia, yang mana digunakan dalam proses bateri EV.

Walau bagaimanapun, sesetengah pembuat kereta seperti BYD China dilihat lebih memilih untuk melabur di hab automotif Thailand.

“Esok kami akan memuktamadkan insentif yang akan kami berikan kepada mana-mana pelaburan EV di Indonesia,” kata Luhut sambil menambah mereka sedang menunggu kelulusan Presiden Joko Widodo.

Luhut berkata beliau akan bertemu dengan eksekutif BYD di bandar Chengdu di China pada hari Khamis, dan mesyuarat juga dijadualkan pada 3 Ogos dengan ketua eksekutif Tesla Elon Musk di California, Amerika Syarikat.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *