Ireland rancang untuk melarang perdagangan dengan Israel

Rio Boestamam
2 Min Read

Kerajaan Ireland dijangka membentangkan rancangan untuk mengharamkan perdagangan barangan dengan perniagaan Israel yang beroperasi di wilayah Palestin yang diduduki. Menjadikannya negara EU pertama yang mengambil langkah sedemikian.

Menteri Luar dan Perdagangan, Simon Harris, menyatakan bahawa undang-undang yang bakal diperkenalkan itu merupakan reaksi terhadap peningkatan serangan yang disifatkannya sebagai “jenayah perang” oleh Israel di Gaza.

Langkah merangka undang-undang ini diumumkan beberapa hari selepas majoriti negara EU bersetuju untuk menyemak semula perjanjian perdagangan blok tersebut dengan Israel. Perbahasan juga sedang berlangsung sama ada perkhidmatan seperti Airbnb termasuk dalam skop larangan ini.

Ibu pejabat AirBnb di Dublin, Ireland yang menjadi topik perdebatan.

“Kejahatan perang sedang berlaku, kanak-kanak kebuluran dan makanan digunakan sebagai senjata peperangan,” kata Harris kepada Financial Times. “Dunia belum bertindak secukupnya, dan kami perlu ambil tindakan.”

Walaupun jumlah import barangan Ireland dari syarikat Israel di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur sangat kecil, kerajaan Dublin berharap negara-negara Eropah lain akan mencontohi langkah ini.

Menurut Conor O’Neill dari Christian Aid Ireland, “Belum pernah ada tindakan perdagangan bersasar seperti ini di peringkat EU.” O’Neill pernah bersama-sama menggubal rang undang-undang serupa pada 2018.

Timbul persoalan sama ada perkhidmatan seperti pelancongan dan IT akan termasuk dalam larangan itu. Produk dari Palestin sendiri seperti minyak zaitun dikecualikan daripada larangan.

Lebih 400 ahli akademik dan peguam Ireland menandatangani surat terbuka menyatakan tiada halangan undang-undang untuk melibatkan perkhidmatan, dan ia selari dengan pendapat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tahun lalu.

Jika diluluskan, syarikat seperti Airbnb mungkin dilarang menyenaraikan hartanah di kawasan jajahan Israel. Airbnb enggan memberi komen, namun sebelum ini mereka menarik balik rancangan untuk menyekat penyenaraian hartanah di wilayah tersebut dan menyatakan akan menderma hasil keuntungan kepada agensi bantuan.

- Advertisement -
Ad image
Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *