Jovian Mandagie diisytiharkan muflis selepas gagal membayar pinjaman RM5 juta

Aina Julia
2 Min Read

Pereka fesyen terkenal, Datuk Jovian Mandagie, dilaporkan telah diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas gagal membayar semula pinjaman sebanyak RM5 juta kepada sebuah syarikat pembinaan.

Menurut laporan The Star, perintah muflis itu dikeluarkan selepas Cekap Air Sdn Bhd memfailkan petisyen pemiutang berhubung kegagalan Jovian menyelesaikan bayaran sebanyak RM5,284,340.66 termasuk faedah bagi pinjaman yang diberikan pada tahun 2022.

“Jovian ada memfailkan beberapa permohonan untuk menangguhkan dan membatalkan notis serta petisyen muflis yang difailkan terhadapnya, namun ditolak oleh mahkamah,” kata peguam syarikat berkenaan, Siti Nur Athirazatti Rohizad.

Cekap Air mendakwa pinjaman itu diberikan secara lisan pada 25 Februari 2022 berdasarkan hubungan peribadi antara pengarah syarikatnya, Yong Zhen Wei dan Jovian, dengan jangkaan ia akan dibayar balik dalam tempoh 12 bulan.

Sebelum ini Jovian pernah dipalit kontroversi kerana hubungan kekeluargaannya dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob.

“Malah, plaintif (Cekap Air) tiada sebab untuk meragui defendan (Jovian) memandangkan beliau ketika itu memiliki beberapa perniagaan dan merupakan menantu kepada bekas perdana menteri,” kata syarikat itu dalam penyataan tuntutannya.

Jovian telah berkahwin dengan Nina Ismail Sabri, anak kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada 11 Disember 2013, namun pasangan itu telah bercerai pada tahun 2024. Syarikat tersebut mendakwa Jovian gagal, enggan atau cuai membayar semula pinjaman tersebut, sekali gus menyebabkan kerugian kewangan dan keuntungan yang tidak wajar.

Mahkamah Tinggi telah mengeluarkan penghakiman terus pada 2 April 2024, yang memerintahkan Jovian membayar semula jumlah tersebut, namun beliau gagal mematuhi arahan itu. Petisyen muflis difailkan selepas Jovian tidak mengendahkan keputusan mahkamah, menurut dokumen mahkamah.

Rayuan beliau terhadap penghakiman terus itu dijadualkan didengar di Mahkamah Rayuan pada 15 September.

- Advertisement -
Ad image
Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *