Malaysia perkenalkan Lemon Law untuk lindungi pemilik kenderaan

Aina Julia
2 Min Read

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Malaysia akan memperkenalkan versi sendiri bagi “lemon law”. Ia merupakan satu bentuk perlindungan undang-undang untuk pengguna yang terperangkap dengan kenderaan yang rosak atau tidak boleh digunakan seperti dijanjikan.

Dalam pembentangan Belanjawan 2026 di Parlimen, PMX memaklumkan bahawa kerajaan akan meminda Akta Perlindungan Pengguna 1999 untuk memasukkan peruntukan lemon law. Secara ringkasnya, jika seseorang membeli kereta yang kerap rosak atau mempunyai kecacatan serius, mereka kini mempunyai hak undang-undang untuk menuntut bayaran balik atau menggantikan kenderaan tersebut.

Langkah ini bukan keputusan tergesa-gesa. Prosesnya telah berjalan sejak lebih setahun lalu. Pada Mac 2024, kerajaan memulakan kajian kebolehlaksanaan selepas mendapati Akta Perlindungan Pengguna sedia ada mempunyai banyak kelemahan dalam melindungi pembeli kereta.

PMX mengumumkan penggubalan Lemon Law semasa pembentangan Belanjawan 2026 di parlimen semalam.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Fuziah Salleh, sebelum ini menegaskan keperluan menutup kelemahan-kelemahan dalam undang-undang tersebut.

Menjelang Mei tahun ini, kementeriannya telah menyiapkan kertas kabinet untuk mencadangkan pindaan undang-undang, berdasarkan hasil kajian perundangan selama enam bulan yang membuktikan bahawa Malaysia amat memerlukan sistem perlindungan pengguna yang lebih kukuh.

Sebagai perbandingan, Singapura telah melaksanakan lemon law sejak tahun 2012, meliputi kenderaan yang mempunyai kecacatan pengilangan yang menjejaskan keselamatan, fungsi, dan nilai kenderaan. Jelas bahawa Malaysia kini sedang mengejar negara jiran dalam memberikan perlindungan lebih baik kepada pembeli kenderaan.

Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *