Amerika Syarikat akan mengenakan tarif sebanyak 25% ke atas Malaysia bermula 1 Ogos, satu kadar yang disifatkan oleh Presiden AS, Donald Trump, sebagai “jauh lebih rendah” daripada apa yang diperlukan untuk menghapuskan defisit dagangan AS dengan Malaysia.
Kadar ini juga lebih tinggi daripada tarif awal 24% yang dikenakan terhadap beberapa eksport Malaysia ke AS, yang sebelum ini digantung selama 90 hari dan berakhir hari ini. Dalam sepucuk surat yang ditujukan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan dimuat naik di platform Truth Social milik Trump, beliau menuduh dasar perdagangan semasa Malaysia telah mewujudkan hubungan dagangan yang berat sebelah dan tidak seimbang dengan AS.
Trump turut menyatakan bahawa beliau sedia mempertimbangkan pengurangan tarif 25% itu sekiranya Malaysia mengubah dasar perdagangannya. Beliau menegaskan bahawa tarif tersebut akan dikenakan secara berasingan daripada sebarang tarif khusus sektor yang telah pun dikuatkuasakan. Sebarang cubaan untuk mengalihkan barangan melalui negara lain bagi mengelak tarif yang tinggi akan dihukum dengan pengenaan kadar tarif yang lebih tinggi.

Trump turut memberi amaran bahawa sekiranya Malaysia bertindak balas dengan menaikkan tarif terhadap barangan AS, maka Washington akan mengenakan tarif tambahan sebanyak 25% sebagai tindak balas.
“Harap maklum bahawa tarif ini perlu untuk membetulkan dasar tarif dan bukan tarif Malaysia selama bertahun-tahun serta pelbagai halangan perdagangan yang telah menyebabkan defisit dagangan yang tidak mampan terhadap AS,” katanya.
Dalam surat tersebut, Trump tetap menegaskan komitmen AS terhadap hubungan dagangan dengan Malaysia, walaupun negara itu mengalami defisit dagangan yang besar dengan Malaysia. Beliau turut menggalakkan penglibatan lebih besar syarikat Malaysia dalam ekonomi AS, yang digambarkan sebagai “pasaran nombor satu dunia.”
“Seperti yang anda sedia maklum, tiada tarif akan dikenakan sekiranya Malaysia atau syarikat-syarikat dari negara anda memilih untuk membina atau mengeluarkan produk di Amerika Syarikat,” katanya.
“Malah, kami akan melakukan segala yang mungkin untuk mempercepatkan kelulusan secara profesional, rutin, dan dalam tempoh beberapa minggu,” tambahnya.
Trump turut menghantar surat serupa kepada beberapa negara lain termasuk Jepun, Korea Selatan, Indonesia, Bangladesh, Thailand, dan Afrika Selatan.
