Nissan Pertimbang Ganti CEO Selepas Rundingan Gagal

Lee Trader
2 Min Read

Nissan Motor Co. dilaporkan mempertimbangkan untuk menggantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Makoto Uchida, berikutan prestasi syarikat yang merosot dan kegagalan rundingan penggabungan dengan Honda Motor Co. Uchida.

Beliau yang menerajui Nissan sejak 2019, berdepan tekanan selepas syarikat mencatatkan kerugian sebanyak 9.3 bilion yen pada suku terakhir, sekali gus memaksa mereka menurunkan ramalan keuntungan tahunan.

Rundingan penggabungan dengan Honda yang berpotensi membentuk entiti automotif bernilai AS$60 bilion gagal apabila Honda mencadangkan agar Nissan menjadi anak syarikatnya, syarat yang ditolak oleh Nissan. Honda turut meminta Nissan menghentikan teknologi e-Power, iaitu inovasi penting dalam strategi elektrifikasi mereka, menambahkan lagi ketegangan antara kedua-dua syarikat.

Kegagalan rundingan ini menimbulkan persoalan mengenai kepimpinan Uchida, terutama apabila beberapa pengarah Nissan dan rakan kongsi seperti Renault turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap prestasinya.

Honda dilaporkan bersedia menyambung semula rundingan penggabungan sekiranya Uchida meletakkan jawatan. Namun, Nissan dijangka mengumumkan rombakan eksekutif pada 12 Mac, dengan Uchida dilihat berkemungkinan besar kekal menerajui syarikat buat masa ini.

Sebelum ini, Nissan telah melaksanakan langkah penstrukturan semula termasuk pengurangan 9,000 pekerja dan pemotongan kapasiti pengeluaran sebanyak 20%, tetapi hasilnya masih belum memberi impak ketara.

Situasi ini menimbulkan persoalan sama ada Nissan mampu pulih tanpa perubahan besar dalam kepimpinan dan strategi syarikat. Keputusan Nissan dalam beberapa minggu akan datang dijangka memberi kesan besar kepada masa depan syarikat dan hala tuju kerjasama strategik mereka.

- Advertisement -
Ad image
TAGGED:
Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *