OpenAI raih kontrak untuk bina aplikasi AI untuk tentera Amerika Syarikat

Rio Boestamam
2 Min Read

Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat pada Isnin telah menganugerahkan kontrak bernilai AS$200 juta kepada OpenAI bagi membangunkan aplikasi kecerdasan buatan (AI) generatif untuk kegunaan ketenteraan.

Menurut kenyataan kontrak yang diumumkan oleh jabatan itu, syarikat berpangkalan di San Francisco itu akan “membangunkan prototaip keupayaan AI termaju untuk menangani cabaran keselamatan negara yang kritikal dalam bidang ketenteraan dan operasi pentadbiran.”

Program ini merupakan kerjasama pertama OpenAI di bawah inisiatif terbaharu syarikat tersebut untuk menggunakan AI dalam sektor kerajaan.

OpenAI menyatakan bahawa teknologi AI canggih ini berpotensi mempertingkatkan kecekapan operasi pentadbiran termasuk sistem penjagaan kesihatan untuk anggota tentera dan juga pertahanan siber.

Menurut syarikat itu, semua penggunaan AI dalam sektor ketenteraan akan mematuhi garis panduan penggunaan yang ditetapkan oleh OpenAI.

Sam Altman, CEO OpenAI acap kali memberi peringatan tentang penggunaan tekonologi AI yang berhemah.

Syarikat teknologi besar kini semakin giat menawarkan teknologi mereka kepada pihak tentera AS, termasuk Meta, OpenAI dan syarikat yang sememangnya sinonim dengan bidang ini, iaitu Palantir. Palantin merupakan sebuah syarikat pertahanan AI yang diasaskan oleh bilionair konservatif Peter Thiel, yang turut dikenali sebagai tokoh utama dalam perubahan hala tuju politik Silicon Valley ke arah sayap kanan.

Pada akhir tahun lalu, OpenAI turut mengumumkan kerjasama bersama syarikat pertahanan Anduril Industries bagi membangunkan dan melaksanakan penyelesaian AI untuk misi keselamatan.

Gabungan tersebut mengintegrasikan model AI OpenAI dengan platform teknologi ketenteraan Anduril untuk mempertingkatkan pertahanan terhadap dron udara dan sistem pesawat tanpa pemandu lain.

“OpenAI membangunkan AI untuk memberi manfaat kepada seramai mungkin orang dan menyokong usaha yang diterajui AS bagi memastikan teknologi ini sejajar dengan nilai-nilai demokrasi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI, Sam Altman ketika itu.

Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *