Pelaburan yang dikeluarkan oleh dunia dalam peralihan kepada tenaga bersih kini telah menyamai jumlah yang dilaburkan dalam pengeluaran bahan api fosil buat kali pertama.
Analisis daripada BloombergNEF menunjukkan pelaburan global dalam peralihan tenaga bersih telah mencecah AS$1.1 trilion pada 2022.
Angka ini hampir menyamai jumlah yang dilaburkan dalam pengeluaran bahan api fosil untuk menghasilkan minyak, gas dan arang batu.
Buat pertama kalinya, dunia melabur sebanyak wang untuk menggantikan bahan api fosil seperti yang dibelanjakan untuk menghasilkan minyak, gas dan arang batu, menurut
Menurut laporan “Trend Pelaburan Peralihan Tenaga 2023” firma penyelidikan itu, tahun 2022 adalah tahun pertama jumlah perbelanjaan kepada kuasa boleh diperbaharui melebihi AS$1 trilion.
Jumlah itu mewakili lonjakan 31% daripada 2021, namun ia masih hanya sebahagian kecil daripada apa yang diperlukan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan memerangi pemanasan global.
BNEF menganggarkan pelaburan tahunan dalam peralihan perlu meningkat tiga kali ganda sepanjang sepuluh tahun ini untuk memberi peluang kepada dunia mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
Hasil penyelidikan juga menunjukkan tenaga suria dan angin menjadi penyumbang besar pelaburan 2022, mencecah AS$495 bilion, meningkat sebanyak 17% berbanding tahun sebelumnya.
Walaupun kenderaan elektrik ditempat kedua, namun perkembangannya di seluruh dunia meningkat jauh lebih pantas, mencecah 54%.
BNEF juga mengatakan bahawa jumlah pelaburan AS$1.1 trilion itu tidak termasuk AS$274 bilion yang dibelanjakan di seluruh dunia pada tahun lalu bagi mengembangkan dan mengukuhkan grid kuasa.