bitcoin-crime

Jerman Berjaya Tumpaskan Operasi Pengubahan Wang Haram Kripto ‘Terbesar Di Dunia’

Pihak berkuasa Jerman hari ini berkata mereka telah menumpaskan operasi pengubahan wang haram “terbesar di dunia” untuk mata wang kripto, merampas bitcoin bernilai berjuta-juta euro dalam proses itu.

Pegawai penguatkuasa undang-undang memperoleh kira-kira 44 juta euro (AS$46 juta) daripada mata wang digital itu dalam serbuan terhadap platform dalam talian ChipMixer, kata Pejabat Polis Jenayah Persekutuan (BKA) dan pejabat pendakwa raya Frankfurt dalam satu kenyataan.

Dengan kerjasama antara pihak berkuasa di Amerika Syarikat dan Europol, pihak penyiasat turut merampas pelayan milik laman “darknet”.

Pengendali ChipMixer disyaki melakukan “pengubahan wang haram komersial dan menjalankan platform perdagangan jenayah di internet”, kata pihak berkuasa Jerman.

Laman web itu dikatakan telah menerima bitcoin yang diperoleh secara haram selepas ia telah menjalani satu proses “pencampuran” untuk menyembunyikan asal usulnya.

Menurut pihak penyiasat, ChipMixer menjanjikan pengguna “kerahsiaan sepenuhnya”.

Perkhidmatan yang telah beroperasi sejak pertengahan 2017 itu, dianggarkan telah menyeleweng “sekitar 154,000 bitcoin” bernilai kira-kira 2.8 bilion euro, kata mereka.

Kebanyakannya diperoleh “daripada kumpulan perisian tebusan dan daripada aktiviti jenayah lain”, kata pegawai yang terlibat.

ChipMixer ialah “perkhidmatan pengubahan wang haram terbesar di dunia di darknet”, kata mereka.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *