vinfast-vietnam

Pembuat EV Vietnam VinFast Lapor Kerugian Bersih AS$2b Pada 2023

Pembuat kenderaan elektrik Vietnam, VinFast hari ini melaporkan kerugian bersih lebih AS$2 bilion pada 2023 selepas sasaran jualannya meleset, walaupun pendapatan meningkat 90 peratus.

Pengeluar kereta tempatan pertama negara komunis itu cuba memecahkan pasaran antarabangsa, bertujuan untuk bersaing dengan gergasi EV global seperti Tesla.

VinFast berkata dalam pemfailan yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS bahawa jumlah pendapatannya pada 2023 berjumlah AS$1.19 bilion, meningkat 91 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Namun begitu, firma itu juga melaporkan kerugian bersih sebanyak AS$2.39 bilion, meningkat 14.7 peratus berbanding 2022, selepas jualan EV meleset daripada sasaran.

“Kami melihat hasil yang menggalakkan dalam operasi perniagaan kami pada suku keempat dengan pertumbuhan hasil yang kukuh dan margin keuntungan yang bertambah baik,” kata Anh Nguyen, Ketua Pegawai Kewangan Vinfast dalam satu kenyataan.

“Kami kekal fokus untuk meningkatkan prestasi pelaburan dan mengukuhkan kunci kira-kira kami dengan mengurangkan kos pengeluaran dan bahan,” ujarnya.

Sebanyak 34,855 Vinfast EV telah dihantar pada 2023, mencakupi AS$1.09 bilion dan meningkat 111 peratus daripada tahun sebelumnya, namun kurang daripada sasaran syarikat sebanyak 50,000 unit.

Pemfailan menyebutkan bahawa kerugian kasar Vinfast ialah AS$551.6 juta tahun lalu, dengan AS$174.9 juta pada suku keempat.

Bagaimanapun pendapatannya antara Oktober dan Disember mencecah AS$436 juta, meningkat 26 peratus berbanding suku sebelumnya.

Vinfast berkata ia akan meningkatkan sasaran penghantarannya kepada 100,000 kenderaan pada 2024, dan memberi tumpuan untuk menembusi pasaran antarabangsa lain selain Amerika Syarikat, Kanada dan Eropah.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *