Polis mula menggunakan dron bagi menjejaki penunggang motosikal di Lebuhraya Persekutuan

Rio Boestamam
3 Min Read

Polis hari ini telah menggunakan dron bagi menjejaki penunggang motosikal yang tidak menggunakan lorong khas motosikal di Lebuhraya Persekutuan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Shahrulnizam Ja’afar, berkata sokongan dron bagi operasi yang bermula jam 11 pagi itu disediakan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dengan kerjasama Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman.

“Dalam tempoh hanya setengah jam operasi ini dijalankan, sebanyak 32 saman telah dikeluarkan. Ini termasuk kepada mereka yang ditahan secara terus dan juga melalui rakaman dron, yang akan disusuli dengan laporan trafik untuk melengkapkan siasatan.

“Walaupun ada yang menyangka mereka terlepas hari ini, dron telah merakam nombor pendaftaran mereka dan saman akan dihantar kepada mereka di bawah POL 170A untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media mengenai operasi tersebut.

Turut serta dalam operasi ialah Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Supt Edward Kondokor.

Terdapat banyak rungutan daripada penunggan motosikal tentang keadaan lorong khas yang kadang-kala berbahaya.

Mengulas mengenai gelagat segelintir penunggang motosikal yang bertindak seperti “samseng jalan raya”, Shahrulnizam menegaskan bahawa penunggang harus mengawal emosi dan sedar akan kesalahan yang mereka lakukan apabila tidak menggunakan lorong khas motosikal di laluan utama Lembah Klang itu.

“Jika mereka guna lebuh raya, risiko kemalangan dan kecederaan adalah lebih tinggi, jadi operasi khas ini bertujuan untuk mengurangkan kes kemalangan yang melibatkan motosikal.

“Operasi bersasar ini menumpukan kepada penguatkuasaan terhadap penunggang motosikal memandangkan 70 peratus kematian di jalan raya melibatkan golongan ini,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa jumlah kemalangan membabitkan penunggang motosikal di Lebuhraya Persekutuan di bawah bidang kuasa polis Petaling Jaya telah meningkat. Di mana 204 kes dicatatkan tahun ini, peningkatan sebanyak 35.1 peratus atau 53 kes berbanding 151 kes pada tahun lalu.

“Bagi daerah ini, 52 kematian direkodkan tahun lalu, manakala tahun ini sebanyak 34 kematian telah dicatatkan sehingga bulan Mei.

“Jadi, kami mengambil inisiatif ini supaya pengguna jalan raya, khususnya penunggang motosikal, sedar bahawa menggunakan lebuh raya tanpa lorong khas bukan sahaja satu kesalahan, malah membahayakan nyawa,” jelasnya.

Beliau turut menasihati syarikat konsesi lebuh raya agar memastikan lorong motosikal berada dalam keadaan selamat, termasuk dari segi pencahayaan dan permukaan jalan, bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini.

- Advertisement -
Ad image
Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *