Punca letupan gas di Putra Heights dijangka akan diketahui akhir bulan ini

Aina Julia
2 Min Read

Punca letupan gas di Putra Heights, termasuk sama ada ia berpunca daripada kerja-kerja penggalian atau faktor lain, dijangka akan dikenal pasti selepas siasatan oleh polis dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) selesai pada akhir bulan ini.

Bagaimanapun, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan kewujudan sebuah jentera penggali (ekskavator) di lokasi kejadian sebelum letupan berlaku.

“Kami sahkan bahawa ekskavator digunakan untuk kerja-kerja menggali bagi pemasangan paip pembetungan di hadapan deretan kedai yang masih belum siap.

“Kami percaya ketika letupan berlaku, jentera tersebut tertimbus dalam kawah letupan,” katanya dalam episod Podcast Utama bertajuk Bahang Sengsara Putra Heights malam tadi.

Hussein berkata, polis akan menjalankan kerja-kerja penggalian di lokasi kejadian untuk mengesahkan kedudukan ekskavator itu selepas sampel untuk siasatan JKKP dikumpul dan kerja-kerja pembaikan saluran paip Petronas disiapkan.

Menurutnya, sejak hari pertama siasatan, pasukan forensik polis telah menggali semula kawasan pemasangan paip yang diuruskan oleh kontraktor.

“Pada peringkat awal, siasatan memberi tumpuan kepada kawasan tengah paip.

“Kami menggali sedalam 16 meter kerana letupan telah mengubah struktur dan kedalaman tanah.

“Salah satu aspek utama siasatan ialah kerja-kerja penggalian. Polis telah mengenal pasti pihak yang melakukan kerja tersebut, kontraktor yang terlibat, jenis jentera yang digunakan, dan tujuan kerja dijalankan,” ujarnya.

Walaupun tiada kemalangan jiwa dilaporkan, letupan tersebut telah menyebab kerosakan di skala yang sangat besar.

Beliau turut menyatakan bahawa sebarang gangguan atau perubahan pada tanah boleh dikesan oleh pasukan forensik.

“Pasukan forensik ditugaskan untuk menilai sejauh mana gangguan atau penggalian tanah berlaku.

“Kami boleh mengukur kedalaman penggalian berdasarkan data ukuran yang tepat.

“Persoalan utama ialah sama ada kerja penggalian itu menyebabkan paip meletup dan pecah.

“Jawapan kepada persoalan ini akan diperoleh melalui siasatan teknikal oleh polis dan JKKP,” katanya.

Hussein turut memaklumkan bahawa siasatan juga merangkumi kemungkinan kewujudan unsur bahan letupan.

“Kami telah mengambil sampel tanah bagi menentukan sama ada terdapat sebarang bahan letupan yang mungkin mencetuskan kejadian tersebut.

“Contohnya, jika terdapat bom lama tertanam atau unsur sabotaj, kesemua itu termasuk dalam skop siasatan,” tambah beliau.

- Advertisement -
Ad image
Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *