Rafizi Ramli telah meletak jawatan sebagai Menteri Ekonomi selepas tewas kepada Nurul Izzah Anwar dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR.
“Saya telah mengemukakan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri. Peletakan jawatan ini akan berkuat kuasa pada 17 Jun. Saya akan menggunakan baki cuti tahunan saya mulai hari ini hingga 16 Jun,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum pemilihan PKR, Rafizi telah menyatakan bahawa beliau akan meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi dan kembali menjadi Ahli Parlimen biasa sekiranya gagal mempertahankan jawatan nombor dua parti itu.
Ahli Parlimen Pandan dua penggal itu berkata, adalah tidak wajar bagi seseorang yang tidak berada dalam kepimpinan pusat parti memegang jawatan dalam Kabinet.
Spekulasi mengenai peletakan jawatannya mula timbul selepas pemilihan peringkat bahagian PKR, di mana beberapa tokoh yang dikaitkan rapat dengan Rafizi gagal memenangi pertandingan masing-masing.
