Rasionalisasi subsidi RON95 akan dilaksanakan pada separuh kedua 2025

Boboi CTC
2 Min Read

Rasionalisasi subsidi RON95 akan dilaksanakan pada separuh kedua 2025

Pelaksanaan rasionalisasi subsidi petrol RON95 dijadualkan berlaku pada separuh kedua tahun 2025, menurut Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau menyatakan bahawa Kementerian Kewangan (MoF) akan meneruskan proses rasionalisasi subsidi. Namun tumpuan ketika ini adalah untuk mengenal pasti kumpulan penerima yang layak.

“MoF akan teruskan rasionalisasi subsidi, tetapi buat masa ini, keutamaan adalah memastikan penerima yang betul dikenal pasti,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Akauntan Antarabangsa 2025 anjuran Institut Akauntan Malaysia (MIA) hari ini.

Menurut beliau lagi, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Jemaah Menteri sedang membincangkan penetapan had kelayakan subsidi bagi rakyat Malaysia, di mana tahap kelayakan itu akan dinaikkan.

Dalam pada itu, kerajaan masih meneliti kemungkinan penggunaan MyKad sebagai mekanisme pelaksanaan subsidi bersasar bagi RON95.

“Setiap warganegara Malaysia memiliki kad pengenalan, dan ia telah digunakan dalam program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), yang terbukti berkesan. Jadi, buat masa ini MoF sedang memperkemas sistem agar ia boleh digunakan dalam pelarasan subsidi RON95,” jelasnya.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai pandangan pihak industri yang mahu penangguhan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), Amir Hamzah berkata kerajaan sedang mengkaji dan mempertimbangkan maklum balas daripada pihak berkepentingan.

“Kerajaan sentiasa mengambil kira pandangan semua pihak. Berkaitan peluasan pelaksanaan SST yang sedang dijalankan, kita telah berbincang dengan semua pihak berkepentingan, dan segala maklum balas yang diterima telah diambil kira,” tambahnya.

- Advertisement -
Ad image
Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *