Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menahan 17 individu yang disyaki terlibat dalam penipuan pelaburan menggunakan nama syarikat sah dari UK, “Pantheon Ventures”.
Menurut akhbar The Star, suspek berusia antara 23 hingga 52 tahun itu ditahan di Kuala Lumpur.
Menurut Pengarah JSJK, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, suspek bertindak sebagai pengarah syarikat, setiausaha, dan ejen yang mencari akaun keldai bagi membantu sindiket ini.
Dalam serbuan tersebut, pihak polis merampas 13 telefon bimbit, sebuah komputer riba, enam kad ATM dan satu penyata bank.
Sejak Januari, sebanyak 66 kertas siasatan telah dibuka, dengan kerugian mencecah RM32.9 juta. Sindiket ini menggunakan 20 akaun bank yang terdiri daripada akaun syarikat, perniagaan, dan akaun peribadi.
Modus operandi sindiket ini adalah beroperasi secara dalam talian, menyamar sebagai syarikat pelaburan sah yang berpangkalan di UK, namun syarikat sebenar itu tidak terlibat langsung. Sindiket jua menggunakan platform Facebook untuk menarik mangsa dan berkomunikasi dengan mereka.
Sindiket ini menjanjikan pulangan pelaburan harian antara 6 peratus hingga 400 peratus, bergantung pada pakej pelaburan.
Mangsa turut diminta memuat turun aplikasi seperti APEX dan NEEQ. Namun, tiada pulangan yang diberikan walaupun janji manis diberi.
JSJK masih meneruskan siasatan dan sedang mencari tujuh individu lagi yang boleh membantu dalam kes ini.
Add a Comment