FILE PHOTO: Daihatsu Motors' logos are pictured at the 45th Tokyo Motor Show in Tokyo

Skandal Pemalsuan Ujian Keselamatan, Daihatsu Tangguh Semua Pengeluaran Domestik

Pengeluar kereta Jepun Daihatsu telah menangguhkan semua pengeluaran domestiknya kerana syarikat milik Toyota itu berdepan skandal besar dalam isu ujian keselamatan.

Firma itu, yang mempunyai kira-kira 9,000 pekerja kilang di Jepun, menutup operasi kilang terakhir daripada empat kilang domestiknya, kata jurucakap Daihatsu hari ini.

“Pengeluaran akan ditangguhkan sehingga Januari. Kami tidak dapat menilai dengan tepat bila pengeluaran domestik kami boleh disambung semula,” kata jurucakap itu.

Menurut firma penyelidikan swasta, langkah itu boleh menjejaskan lebih 8,000 syarikat di seluruh negara.

Minggu lalu, Daihatsu berkata ia telah memanipulasi ujian keselamatan sejak sekurang-kurangnya 1989, menjejaskan 64 model kenderaan, termasuk beberapa yang dijual di bawah jenama Toyota yang juga sedang digantung.

Pada April, Daihatsu berkata ia telah memalsukan keputusan ujian kemalangan untuk empat modelnya, melibatkan sejumlah 88,000 kenderaan buatan Thailand dan Malaysia pada 2022 dan 2023.

Pada Mei, ia mengumumkan ia menghentikan pengeluaran dua model kenderaan hibrid di Jepun kerana “penyelewengan” yang serupa, termasuk SUV Toyota Raize, yang dikeluarkan bagi pihak syarikat induknya.

Ditubuhkan pada 1907 untuk mengeluarkan enjin pembakaran dalaman, Daihatsu yang berpangkalan di Osaka melancarkan kenderaan tiga roda pertamanya pada 1931, sebelum diambil alih oleh Toyota pada 1967.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *