Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia untuk mendedahkan justifikasi mereka untuk membekukan aset milik Aman Palestin Bhd (Aman Palestin) di mahkamah, kata ketua pesuruhjaya Tan Sri Azam Baki.
Beliau berkata pembekuan aset itu dilakukan bagi memudahkan siasatan mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA).
Akta-akta tersebut membenarkan agensi penguatkuasaan mengeluarkan perintah untuk membekukan mana-mana harta mana-mana orang, atau mana-mana harta pengganas.
“Ini adalah tindakan biasa yang diambil dalam mana-mana siasatan, jika perlu,†katanya dalam satu kenyataan.
Pada Isnin lalu, Aman Palestin, pada sidang media di Bangi, memberi kata dua kepada SPRM selama tiga hari untuk membatalkan akaunnya yang telah dibekukan sejak 23 November, atau berdepan tindakan undang-undang.
Mengulas lanjut, Azam berkata SPRM menjalankan siasatan secara profesional dan adil, tanpa sebarang niat jahat terhadap mana-mana pihak.
“Terpulang kepada mana-mana pihak untuk mengambil tindakan undang-undang (terhadap SPRM) jika mereka merasakan ada keperluan untuk berbuat demikian,” katanya.
Beliau berkata SPRM diamanahkan untuk menyiasat secara adil dan tegas sebarang isu penyelewengan dan salah guna kuasa khususnya kes berkepentingan awam membabitkan ketirisan dana.
SPRM telah membekukan 41 akaun bank milik Aman Palestin dan syarikat berkaitan, membabitkan lebih RM15 juta.