Syarikat-syarikat tersenarai awam kini membeli bitcoin secara besar-besaran. Kali ini mereka mempertaruhkan wang besar bahawa aset digital ini tidak akan merudum nilainya.
Antara syarikat terkini yang menyertai tren ini ialah GameStop, yang semalam mengumumkan pembelian bitcoin pertamanya bernilai sekitar AS$500 juta. Selain itu, syarikat induk Truth Social, Trump Media ($DJT), yang pada hari Selasa menyatakan akan mengumpul dana sebanyak AS$2.5 bilion untuk mewujudkan simpanan bitcoin mereka sendiri.
Menurut BitcoinTreasuries.net, kini terdapat 114 syarikat tersenarai yang memiliki bitcoin. Ini merupakan peningkatan daripada 89 pada awal April. Harga bitcoin turut melonjak hampir 50%, daripada paras terendah kira-kira AS$75,000 kepada paras tertinggi baharu sekitar AS$112,000 dalam tempoh yang sama.

Ikut Jejak ‘Strategy’ (dulu dikenali sebagai MicroStrategy)
Syarikat-syarikat awam ini dilihat meniru langkah syarikat Strategy, pemegang bitcoin korporat terbesar di dunia.
Strategy telah membeli lebih 580,000 bitcoin (dengan nilai semasa melebihi AS$62 bilion) sejak beberapa tahun lalu. Ini menyebabkan perniagaannya beralih daripada syarikat perisian kepada syarikat pemegangan bitcoin yang kebetulan juga menawarkan perisian.
Pelabur melihat Strategy sebagai satu jalan mudah untuk mendapatkan pendedahan kepada bitcoin tanpa perlu membeli mata wang kripto secara langsung. Strategi ini telah membawa pulangan besar kepada para pelabur di mana harga saham Strategy melonjak 500% tahun lalu apabila bitcoin naik sebanyak 130%.
Namun begitu, saham Strategy kini diniagakan pada kira-kira 1.6 kali ganda nilai pegangan bitcoinnya. Ini menimbulkan kebimbangan bahawa nilai syarikat boleh menjunam sekiranya pasaran berubah arah. Namun para penyokong kripto tetap yakin bahawa bekalan bitcoin yang terhad akan menyebabkan nilainya terus meningkat.
Kripto Disokong Pemimpin Tertinggi
“White House kini menyokong kripto,” lapor Fox Business semalam dari Persidangan Bitcoin 2025 di Las Vegas. Dalam ucapannya kepada hadirin, Naib Presiden JD Vance berkata pentadbiran semasa berhasrat untuk melonggarkan peraturan persekutuan ke atas kripto dan meluluskan undang-undang yang membenarkan perdagangan stablecoin.
Namun, ini menimbulkan keresahan dalam kalangan sesetengah penggubal undang-undang. Ini kerana keluarga Trump memiliki pegangan majoriti dalam stablecoin yang dipanggil USD1.