menara-tabung-haji

Tabung Haji Catat Rekod Deposit Tertinggi RM88 bilion

Lembaga Tabung Haji terus mencatatkan rekod tertinggi apabila jumlah deposit mencecah RM88 bilion setakat Mei 2022.

Peningkatan hampir 16% daripada jumlah deposit yang direkodkan pada 31 Disember 2020 itu mencerminkan keyakinan umat Islam yang semakin kukuh terhadap institusi pengurusan haji negara.

Menerusi Pelan Transformasi Strategik HIJRAH24, TH menyasarkan jumlah deposit terkumpul sebanyak RM100 bilion.

Memetik laporan Bernama, peningkatan tersebut adalah sesuatu yang signifikan berikutan deposit bersih bulanan juga mencecah lebih RM1 bilion.

Hal ini dijelaskan oleh Pemangku Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamed Ameen Abdul Wahab kepada Bernama sambil menyebutkan bahawa TH sentiasa komited untuk menambah baik perkhidmatan mereka.

TH telah mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.10 peratus bagi 2021, bernilai RM2.24 bilion yang memberi manfaat kepada lebih 8.4 juta pendeposit.

Mengulas tentang jumlah pendeposit, Mohamed Ameen berkata masih terdapat 55 peratus orang Islam di Malaysia yang masih belum membuka akaun Tabung Haji.

“Jumlah pendeposit Tabung Haji hari ini adalah sekitar 8.5 juta orang, manakala jumlah umat Islam di Malaysia, mengikut perangkaan 2020, adalah sekitar 18.9 juta.

“Kira-kira 45% rakyat Malaysia yang beragama Islam adalah penyimpan Tabung Haji,” katanya.

Beliau juga menjelaskan bahawa penubuhan TH adalah untuk membantu dan menguruskan umat Islam Malaysia mengerjakan haji.

Oleh itu penting bagi semua umat Islam di Malaysia untuk membuka akaun dan mendaftar haji sebelum kuota atau giliran haji ditentukan oleh pihak yang lain.

Mohamed Ameen juga berkata deposit daripada simpanan akan dilaburkan bagi memperoleh keuntungan yang kemudiannya akan dizakatkan.

“Pada 2021, TH telah menyerahkan zakat berjumlah RM106 juta untuk golongan asnaf di seluruh negara,” jelasnya.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *