Gempa bumi berukuran 3.2 skala Richter berlaku pada jam 8.59 pagi Rabu (27 Ogos) kira-kira 18km di selatan bandar Segamat, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Ini adalah gempa bumi ketiga dalam tempoh empat hari yang melanda Johor, dengan gegaran dirasai di seluruh negeri itu serta di selatan Pahang.
MetMalaysia memaklumkan bahawa gempa tersebut berlaku pada kedalaman 10km di Zon Sesar Mersing, dan merupakan gempa susulan (aftershock) kepada gempa yang berlaku pada Ahad lalu. Pada 24 Ogos jam 6.13 pagi, Segamat dilanda gempa bumi berukuran 4.1 skala Richter, diikuti gempa bumi kedua berukuran 2.8 skala Richter di Kluang pada jam 9 pagi.
Zon Sesar Mersing merupakan salah satu jalur sesar utama di Semenanjung Malaysia, selain Bukit Tinggi, Kuala Lumpur, Lebir, Bok Bak, Bentong dan Lepar. “MetMalaysia akan terus memantau keadaan ini,” menurut kenyataan jabatan itu di Facebook.
Setakat ini, tiada laporan kematian, kecederaan atau kerosakan harta benda diterima, kata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Segamat.
Pihak berkuasa keselamatan dan agensi berkaitan sedang menjalankan pemantauan lanjut bagi memastikan keadaan di daerah Segamat kekal selamat, terutamanya untuk orang awam.

Gempa pertama pada Ahad lalu dirasai di kebanyakan kawasan di Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan selatan Pahang, menurut pihak berkuasa Malaysia.
Kejadian itu mencetuskan panik dalam kalangan penduduk Segamat, yang ada melaporkan terdengar bunyi kuat. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kenderaan bergoyang seketika dan penggera kereta berbunyi.
Gempa kedua pada jam 9 pagi hari yang sama turut dirasai di kawasan yang sama, dengan pusat gempa dikesan 28km di barat laut Kluang, Johor.
MetMalaysia memaklumkan kedua-dua pusat gempa itu terletak berhampiran Zon Sesar Mersing. Pakar geologi memberitahu CNA bahawa gempa pada Ahad menjadi peringatan bahawa sesetengah sesar di Semenanjung Malaysia masih aktif, walaupun kejadian gempa bumi di kawasan ini jarang berlaku.
Mereka mencadangkan pihak berkuasa meningkatkan langkah pemantauan bagi memahami aktiviti seismik di rantau ini dengan lebih baik serta mewujudkan sistem amaran awal untuk menyampaikan maklumat tepat pada masanya yang berpotensi menyelamatkan nyawa.
