Cuaca panas yang melanda negara ketika ini bukan sesuatu yang luar biasa, sebaliknya merupakan fenomena lazim semasa musim Monsun Barat Daya yang berlaku setiap tahun. Musim monsun ini telah bermula pada 10 Mei dan dijangka berterusan sehingga pertengahan September.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, menjelaskan bahawa musim ini dicirikan oleh keadaan yang lebih kering akibat kelembapan udara yang rendah dan atmosfera yang lebih stabil.
Tambah beliau, hujan akan berkurangan secara ketara sepanjang tempoh ini, dan lebih banyak hari tanpa hujan dijangka berlaku di seluruh negara. Walau bagaimanapun, Mohd Hisham menjelaskan bahawa hujan lebat, angin kencang dan ribut petir tetap boleh berlaku secara terpencil di beberapa kawasan.

Antara kawasan yang terjejas termasuklah bahagian barat Semenanjung Malaysia, utara Sarawak dan barat Sabah pada awal pagi, manakala kawasan pedalaman dan timur Semenanjung, serta pedalaman Sarawak dan Sabah, dijangka mengalami fenomena ini pada waktu petang dan awal malam.
Beliau berkata, ramalan cuaca sehingga 4 Jun menunjukkan keadaan panas dan kering dijangka berterusan di kebanyakan tempat di negara ini.
“Zon pertembungan angin yang kebiasaannya membawa hujan lebat kini lebih tertumpu di negara jiran seperti Thailand dan Myanmar.
“Setakat ini, suhu maksimum harian bagi bulan Mei berada dalam lingkungan 33°C hingga 36°C dan dijangka kekal pada paras ini dalam minggu akan datang kerana hujan yang terhad,” jelasnya.
Mohd Hisham turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa kekal terhidrat dan menghadkan aktiviti luar rumah.