Zetrix AI (bekas MyEG) didenda kerana ingkar arahan Bursa

Boboi CTC
3 Min Read

Syarikat yang dahulunya dikenali sebagai MyEG Services Bhd dan kini beroperasi di bawah nama Zetrix AI, telah dikenakan tindakan disiplin oleh Bursa Malaysia kerana mengeluarkan pengumuman mengelirukan. Mereka juga gagal mematuhi arahan pengawal selia. Seramai tujuh pengarahnya turut dikenakan denda sebanyak RM150,000 setiap seorang.

Syarikat itu didapati melanggar Perenggan 9.35A(1)(a) dan (b) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (Main LR) kerana gagal memastikan pengumuman bertarikh 7 Julai, 13 dan 14 September 2023 adalah tepat, benar dan tidak mengelirukan. Ia juga melanggar Perenggan 2.23(1) kerana tidak mematuhi arahan Bursa Malaysia untuk memberi penjelasan terhadap pengumuman 7 Julai tersebut sebelum tarikh akhir 16 Ogos.

Antara pengarah yang dikenakan tindakan termasuk Pengarah Urusan Kumpulan Wong Thean Soon dan Pengerusi Eksekutif Datuk Dr Norraesah Mohamad. Kedua-duanya dikenakan denda RM100,000 bagi kesalahan pengumuman yang mengelirukan dan RM50,000 lagi kerana ingkar arahan Bursa.

Turut didenda ialah Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif Datuk Mohd Jimmy Wong Abdullah, serta Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Wong Kok Chau, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff, Datuk Mohd Jeffrey Joakim dan Mohaini Mohd Yusof.

Laporan pada September tahun lalu menceritakan yang MyEG mengenakan yuran pembaharuan permit kepada pekerja asing walaupun konsesi mereka telah ditamatkan.

“Tiada justifikasi munasabah terhadap kegagalan syarikat dan para pengarah memastikan pengumuman yang dikeluarkan adalah tepat, tidak palsu atau mengelirukan serta mematuhi arahan pengawal selia,” menurut kenyataan Bursa Malaysia pada Isnin.

Sebagai latar belakang, pengumuman pada 7 Julai mendakwa Kementerian Kewangan telah meluluskan pelantikan Zetrix AI sebagai ejen kutipan hasil kerajaan serta peranannya yang berterusan sebagai penyedia perkhidmatan dalam talian untuk Jabatan Imigresen.

Namun begitu, Bursa Malaysia menjelaskan bahawa kenyataan tersebut tidak selari dengan kandungan sebenar surat daripada Kementerian Dalam Negeri bertarikh 4 Julai 2023.

Walaupun laporan media telah membangkitkan isu mengenai Zetrix AI yang terus mengenakan bayaran bagi pembaharuan permit pekerja asing selepas konsesi rasminya tamat pada Mei 2023, syarikat itu tidak mengeluarkan penjelasan segera. Sebaliknya, ia mengulangi dakwaan yang tidak tepat dalam pengumuman pada September.

Pengawal selia itu menegaskan para pengarah gagal melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sewajarnya, walaupun menyedari ketidakselarasan maklumat dan arahan Bursa. Bursa juga menekankan bahawa pendedahan maklumat yang tepat dan tepat pada masanya adalah penting untuk mengekalkan integriti pasaran dan keyakinan pelabur.

Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *