Sembilan ahli parlimen PKR telah menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan penyelewengan dalam pelantikan hakim-hakim kanan, termasuk Ketua Hakim Negara.
Mereka juga akan membuat permintaan rasmi agar prosiding dan siasatan dijalankan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi, termasuk memanggil pegawai kanan kerajaan untuk memberi keterangan.
Kumpulan ini diketuai oleh Ahli Parlimen Pandan merangkap bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, yang berkata mereka akan menghantar surat rasmi kepada Pengerusi Jawatankuasa berkenaan, William Leong, serta semua ahli jawatankuasa.
“Parlimen, sebagai badan legislatif yang bebas, mesti memainkan peranan penting dalam mempertahankan kebebasan badan kehakiman,” katanya dalam sidang media khas hari ini.
Rafizi menggariskan empat isu utama berkaitan kontroversi pelantikan kehakiman yang kini menjadi perhatian umum dan memerlukan penjelasan daripada pihak kerajaan.
Antaranya ialah kelewatan kerajaan bertindak terhadap pencalonan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) untuk pelantikan hakim baharu ke Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan, sehingga menyebabkan kekosongan mendesak.

Turut dibangkitkan ialah pencalonan untuk jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan yang didakwa telah diputuskan oleh JAC sebelum persaraan Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan dikemukakan kepada Perdana Menteri, tetapi pelantikan tidak dibuat sehingga kini, mengakibatkan kekosongan.
Beliau juga mendakwa satu mesyuarat JAC telah dipanggil pada Jumaat lalu tanpa mematuhi tempoh notis 10 hari seperti yang ditetapkan, dipercayai untuk mencalonkan semula individu bagi jawatan yang kosong.
Rafizi menegaskan bahawa sebagai ahli parlimen, mereka bertanggungjawab mempertahankan kebebasan badan kehakiman dan prinsip pengasingan kuasa antara tiga cabang kerajaan.
“Malah, mempertahankan kebebasan badan kehakiman adalah teras utama perjuangan PKR dan Pakatan Harapan,” katanya.
Rafizi berkata, pelantikan bagi mengisi kekosongan jawatan kehakiman utama seharusnya berasaskan pencalonan terdahulu oleh JAC, dan sebarang pencalonan baharu hanya wajar dibuat selepas prosiding RCI dan jawatankuasa khas parlimen dijalankan.
Beliau turut memaklumkan bahawa mereka akan melancarkan kempen merentas parti dalam kalangan ahli parlimen untuk meraih sokongan terhadap tuntutan ini, serta menganjurkan forum awam di seluruh negara bagi meningkatkan kesedaran rakyat.
