“CEO Batu” mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menunjukkan kemaluannya

Aina Julia
2 Min Read

Seorang pempengaruh media sosial berusia 22 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang atas pertuduhan menunjukkan kemaluannya kepada seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dua bulan lalu. Tertuduh, Iqbal Muhammad yang dikenali dengan nama “CEO Batu” di media sosial, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamarudin pagi ini.

Dia didakwa melakukan gangguan seksual tanpa sentuhan terhadap mangsa dengan menunjukkan kemaluannya dengan niat untuk dilihat oleh mangsa. Kejadian itu didakwa berlaku di Sunway Batu Caves sekitar jam 1.16 pagi pada 16 Mei lalu.

Iqbal didakwa mengikut Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda tidak melebihi RM20,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Perbualan ‘CEO Batu’ yang tular baru-baru ini.

Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000, namun peguam bela Iqbal, Anif Rafih memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM6,000.

Anif memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya hanya memperoleh pendapatan sekitar RM3,000 sebulan sebagai pempengaruh, dan akaun media sosialnya telah digantung selain telefon bimbitnya dirampas oleh pihak berkuasa.

Tambahnya lagi, Iqbal turut menanggung datuknya yang menghidap penyakit jantung dan menerima rawatan bulanan di Institut Jantung Negara. Hakim membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 dan memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan serta dilarang menghubungi mangsa.

Mahkamah menetapkan 14 Ogos sebagai tarikh penyerahan dokumen.

Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *