Indonesia sedang mempertimbangkan untuk mengenakan sekatan baharu terhadap permainan video ganas seperti PUBG susulan insiden letupan di sebuah sekolah yang mencederakan hampir 100 orang, menurut laporan Bloomberg.
Presiden Prabowo Subianto telah mengarahkan Kabinetnya meneliti kemungkinan pelaksanaan sekatan selepas menerima laporan daripada pihak polis yang sedang menyiasat kejadian tersebut, kata Setiausaha Negara Prasetyo Hadi di Jakarta semalam.
Permainan PUBG yaang dibangunkan oleh syarikat Korea Selatan Krafton Inc, terkenal kerana mempopularkan genre “battle royale”, di mana pemain bertarung untuk menjadi yang terakhir bertahan. Versi mudah alihnya, yang dibangunkan bersama Tencent Holdings dari China, sangat popular di Indonesia, khususnya dalam kalangan golongan muda yang menjadikan permainan video sebagai hobi utama.

Perdebatan mengenai isu ini tercetus selepas kejadian letupan pada 7 November di sebuah surau sekolah di utara Jakarta yang berlaku sebelum waktu solat. Hampir 100 orang cedera, dan polis sedang menyiasat kemungkinan penglibatan seorang pelajar dalam insiden tersebut.
Kerajaan Indonesia sebelum ini pernah membincangkan tentang pengawalan kandungan dalam talian yang dianggap berbahaya atau tidak bermoral, namun ini merupakan antara kali pertama permainan video arus perdana berpotensi disemak semula.
Perdebatan serupa turut timbul di negara-negara Asia lain termasuk Malaysia, di mana pihak berkuasa menyuarakan kebimbangan mengenai kaitan antara permainan video dan tingkah laku ganas. Ini meskipun bukti kukuh mengenainya masih belum diperoleh.
