Seorang hakim di Indonesia menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun terhadap anak kepada seorang taikun minyak yang dikehendaki oleh Interpol pada Jumaat, selepas didapati bersalah terlibat dalam skim rasuah yang dianggarkan menyebabkan kerugian kerajaan sebanyak AS$17 bilion (RM66.06 bilion).
Muhammad Kerry Adrianto Riza merupakan individu berprofil tinggi paling utama yang disabitkan kesalahan dalam skandal besar melibatkan syarikat tenaga milik negara, Pertamina. Mahkamah mendapati Kerry bersalah kerana memanipulasi perjanjian pajakan serta bersekongkol dengan beberapa eksekutif Pertamina, menurut kenyataan Pejabat Peguam Negara.
Hakim Fajar Kusuma Aji memutuskan bahawa Kerry terbukti secara sah dan meyakinkan melakukan jenayah rasuah secara bersama. Selepas prosiding hukuman hampir 12 jam, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun ke atas Kerry, selain mengenakan denda kira-kira AS$59,500 (RM231,217) serta bayaran ganti rugi sekitar AS$173 juta (RM672.28 juta).

Bapa Kerry, Mohammad Riza Chalid yang digelar “godfather petrol”, turut dikehendaki pihak berkuasa kerana disyaki terlibat dalam siasatan rasuah sama, namun dipercayai telah melarikan diri dari Indonesia. Interpol mengeluarkan notis merah terhadapnya pada Januari lalu.
Skandal Pertamina tersebut melibatkan pembelian bahan api import berkualiti rendah pada harga lebih tinggi serta pelbagai amalan rasuah lain, menurut Pejabat Peguam Negara. Dalam prosiding sama, bekas ketua eksekutif anak syarikat Pertamina, Riva Siahaan, turut dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun.
Indonesia sejak sekian lama berdepan masalah rasuah, dengan ramai pegawai awam ditahan dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Pada tahun 2023, seorang bekas menteri komunikasi turut dihukum penjara 15 tahun selepas didapati bersalah dalam kes rasuah yang menyebabkan kerugian negara melebihi AS$530 juta (RM2.059 bilion).
