Salah seorang suspek yang ditahan dalam serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dakwaan rasuah dalam tender projek pembinaan pusat data dilaporkan cuba membakar hampir RM1 juta wang tunai bagi memusnahkan bukti.
Menurut sumber, pengurus projek sebuah syarikat pembinaan terkemuka itu bertindak sedemikian kerana panik dan terkejut selepas rumahnya diserbu oleh pasukan SPRM pada Khamis, lapor Bernama. Sekumpulan pegawai SPRM menemui ikatan wang kertas RM100 yang berjumlah hampir RM1 juta sedang dibakar ketika serbuan dijalankan, menurut sumber berkenaan.
“Suspek dipercayai bertindak terdesak dengan mengambil beberapa ikatan wang tunai dan cuba membakarnya sebaik sahaja melihat kehadiran pasukan SPRM,” kata salah seorang sumber.
“Sebaik pasukan SPRM berjaya membuka pintu, mereka mendapati ruang dalaman rumah dipenuhi asap tebal yang berpunca dari bilik air.
“Hasil pemeriksaan mendapati wang kertas RM100 yang sebahagiannya sudah terbakar, dengan jumlah hampir RM1 juta, ditemui dalam bilik air.”
Dalam serbuan itu, SPRM turut merampas wang tunai berjumlah kira-kira RM7.5 juta yang disimpan dalam beberapa kotak bantal, selain tiga jam tangan mewah (Rolex, Omega dan Cartier) serta pelbagai barangan kemas termasuk cincin dan syiling emas.

“Wang itu dipercayai merupakan hasil suapan yang diterima oleh pengurus terbabit sebagai balasan kerana menganugerahkan enam tender projek perolehan,” kata sumber tersebut.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan kejadian tersebut ketika dihubungi.
Beliau menegaskan bahawa cubaan suspek untuk melupuskan bukti adalah satu kesalahan serius yang boleh didakwa di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Namun begitu, Khusairi menjelaskan bahawa fokus utama siasatan masih tertumpu di bawah Seksyen 16 dan Seksyen 17A Akta SPRM 2009, yang melibatkan kesalahan rasuah dan liabiliti korporat.
SPRM telah memperoleh perintah reman selama tujuh hari sehingga 24 Julai terhadap pengurus terbabit, manakala isterinya direman selama tiga hari sehingga 21 Julai.
Mahkamah majistret Putrajaya juga membenarkan dua pengarah syarikat berkenaan direman sehingga 22 Julai.
