Harapan Tipis F1 Kembali Ke Malaysia, SIC Akui Keputusan Silam Satu Kesilapan

Muq
By Muq
2 Min Read

Ketua Pegawai Eksekutif Sepang International Circuit (SIC), Azhan Shafriman Hanif, mengakui Malaysia melakukan kesilapan apabila melepaskan hak penganjuran perlumbaan Formula 1 (F1). Katanya, peluang untuk mengembalikan F1 ke Litar Sepang kini sangat tipis kerana terdapat senarai menunggu panjang bagi negara yang mahu menyertakan diri dalam kalendar perlumbaan berprestij itu.

Beliau turut menjelaskan bahawa kos penganjuran sangat tinggi dengan Liberty Media Corp, pemilik F1, mengenakan caj sekitar AS$70 juta (RM295 juta) hanya untuk hak penganjuran, tidak termasuk kos persediaan bernilai RM10-20 juta setahun. Secara keseluruhan, lebih RM300 juta diperlukan setiap tahun sekiranya Malaysia mahu membawa semula perlumbaan itu.

SIC: “Kos Bawa Balik F1 ke Sepang Cecah RM300 Juta”

Namun begitu, Azhan yakin masih wujud minat yang kukuh untuk mengembalikan F1 ke Malaysia. Katanya, jika peminat dan pihak berkepentingan benar-benar serius, maka perbincangan boleh dimulakan. Beliau menegaskan semua pihak perlu memainkan peranan – daripada kementerian, sektor korporat hingga ke industri perhotelan – sama seperti model kejayaan yang diamalkan di Singapura.

“Semua pihak mesti terlibat jika mahu F1 kembali ke sini. Pulangan pelaburan tidak akan segera, tetapi manfaat jangka panjang sangat besar,” katanya.

Dalam masa sama, Azhan memberi amaran agar kesilapan sama tidak diulangi terhadap hak penganjuran MotoGP. Katanya, rundingan kontrak baharu dengan penganjur, Dorna Sports, akan dijalankan tidak lama lagi.

“Kita tidak mahu mengulangi kesilapan lama. Kita lepaskan F1, kini sangat sukar untuk membawanya kembali. Saya harap kita tidak buat kesilapan sama dengan MotoGP,” jelasnya.

Pada April 2023, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, pernah menegaskan penganjuran F1 di Sepang hampir mustahil kerana kos yang terlalu tinggi. Bagaimanapun, Presiden Persatuan Permotoran Malaysia, Mokhzani Mahathir, berpendapat F1 masih boleh kembali ke Sepang jika sektor korporat bersedia menanggung kos penganjuran.

Malaysia mula menganjurkan F1 pada tahun 1999 dan perlumbaan itu menjadi tarikan besar peminat sukan permotoran antarabangsa setiap tahun. Perlumbaan terakhir diadakan pada 2017 selepas kerajaan ketika itu memutuskan untuk tidak memperbaharui kontrak kerana pulangan semakin merosot.

Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *