Keluarga seorang wanita warga India yang hilang selepas terjatuh ke dalam lubang benam di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada Ogos 2024, merayu kerajaan supaya mengeluarkan sijil kematian bagi membolehkan tuntutan pampasan dimulakan.
Peguam yang mewakili keluarga mangsa, Muhamad Saifullah Muhamad Azmi, berkata mangsa, G. Vijaya Lakshmi, 48, dari Kuppam, Andhra Pradesh, masih diklasifikasikan sebagai individu hilang, menyebabkan sijil kematian belum dapat dikeluarkan. Menurutnya, permohonan rasmi secara bertulis telah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Pendaftaran Negara pada 24 Februari lalu bagi memudahkan proses pengeluaran sijil kematian tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa sijil kematian diperlukan bagi membolehkan sebarang tuntutan pampasan dibuat secara sah mengikut peruntukan undang-undang sedia ada. Selagi status mangsa kekal sebagai orang hilang, keluarga atau waris tidak mempunyai saluran undang-undang untuk meneruskan tuntutan mahupun menyelesaikan urusan rasmi lain.

Katanya lagi, setakat ini tiada tindakan mahkamah difailkan bagi menuntut pampasan kerana pihak keluarga mahu memberi ruang kepada perbincangan terlebih dahulu dengan kementerian serta agensi berkaitan. Seorang lagi peguam, M. Partiben, memaklumkan bahawa anak tunggal mangsa, M. Surya, 27, kini berdepan tekanan kewangan termasuk hutang bank yang memerlukan pengesahan rasmi kematian bagi tujuan penyelesaian pinjaman.
Mangsa dilaporkan mempunyai baki pinjaman bank berjumlah RM8,546.51 selain hutang daripada pemberi pinjam wang tidak berlesen dianggarkan antara RM40,000 hingga RM45,000. Menurutnya, waris sebelum ini menerima sumbangan ihsan sebanyak RM30,000, namun ia tidak seharusnya dianggap sebagai pampasan rasmi susulan insiden tersebut.
Surya turut memaklumkan bahawa ini merupakan lawatan ketujuh beliau ke Malaysia sejak 2024 bagi menguruskan hal berkaitan kes berkenaan, dengan jumlah perbelanjaan melebihi RM50,000 atau sekitar RM8,000 bagi setiap perjalanan.
